Siswazah perlu keluar daripada zon selesa

11 November 2009

Dalam keadaan ekonomi dunia gawat ketika ini, peluang pekerjaan terhad dan perniagaan tidak berkembang. Akibatnya graduan sukar mendapat pekerjaan. Jika adapun, syarikat bersikap sangat selektif.

Kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi. Perlu ada nilai tambah khususnya kemahiran insaniah seperti kebolehan berkomunikasi dengan berkesan, daya kepimpinan dan keupayaan berfikir secara strategik.

Justeru, University of the West of England (UWE) melengkapkan penuntutnya dengan kemahiran itu melalui program bakti siswa dan khidmat komuniti selama empat hari di Ho Chi Minh City (HCMC), Vietnam, baru-baru ini.

Antara pengisian program ialah kerja amal di rumah anak-anak yatim, lawatan ke universiti dan tempat bersejarah serta sesi dialog bersama ahli perniagaan.

Menurut Pengarah Program Perniagaan UWE, Vinitha Guptan, sepanjang tempoh itu kemahiran insaniah dan potensi pelajar telah dinilai secara kolektif - tanpa pengetahuan mereka - oleh wakil industri yang dijemput khas menyertai lawatan sambil belajar itu.

Katanya, maklum balas itu amat penting bagi pelajar UWE di Kolej Universiti Taylor's mempersiapkan diri dengan kehendak serta keperluan pasaran kerja.

Penglibatan industri secara langsung dalam aktiviti anjuran institusi pengajian tinggi (IPT) mampu mewujudkan hubungan akrab yang menguntungkan semua pihak khususnya graduan.

Industri mendapat modal insan berkualiti tinggi hasil didikan IPT dan graduan pula memulakan kerjaya mengikut bidang masing-masing di firma atau syarikat multinasional.

Di samping itu, kunjungan tersebut turut membuka peluang kerjasama dan memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Universiti Taylor's dengan Universiti Ekonomi HCMC. Ia melibatkan aktiviti pertukaran pelajar dan pensyarah.

peluang pekerjaan

Para peserta program pula berpeluang membentuk rangkaian, menjalin kerjasama dan mengintai peluang pekerjaan di negara sosialis itu setelah ditemukan dengan beberapa tokoh perniagaan Vietnam dalam satu jamuan makan malam.

Peluang itu turut dikongsi oleh pelajar jurusan undang-undang Universiti of Reading (UOR) dan pelajar Program Ijazah Amerika (ADP) yang bersama-sama menyertai lawatan tersebut.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perniagaan Taylor's, R. Ratneswary berkata, program itu diadakan di luar negara bertujuan membawa pelajar keluar daripada zon selesa dan melatih mereka supaya berani menghadapi cabaran.

Menurutnya, dengan latar budaya, bahasa dan fahaman yang berbeza, HCMC menjadi medan pembelajaran luar bilik darjah yang efektif dalam tempoh yang singkat.

Misalnya, lawatan ke Cu Chi Tunnel - markas pejuang kemerdekaan Vietnam yang hidup di dalam terowong bawah tanah selama 20 tahun - mengajar peserta untuk berfikir dan bertindak secara inovatif demi meneruskan kelangsungan hidup semasa diancam krisis.

Gerila Vietcong ini kreatif mencipta senjata daripada bahan sisa letupan tentera Amerika. Bijak mengelak dari dikesan dengan pelbagai teknik penyamaran. Cekal dan tidak mudah putus asa demi mencapai matlamat mengusir penjajah.

"Melihat, mengkaji dan mengalami sendiri keadaan di sana merupakan satu pendekatan pendidikan yang holistik," jelas Ratneswary.

Pada masa yang sama, Askia Kalthum Ab. Razak mengakui program itu merapatkan lagi hubungan antara sesama pelajar dan pelajar dengan pensyarah.

Pelajar tahun tiga Perakaunan dan Kewangan UWE itu memberitahu, program bakti siswa tersebut juga telah menjadikannya lebih fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi.

"Gagal bukan alasan untuk berhenti berusaha sebaliknya pendekatan perlu diubah mengikut kesesuaian persekitaran dan keperluan semasa," katanya.

Rakannya, Raja Norashikin Raja Azhar, 22, menjadikan kegiatan kokurikulum ini sebagai medan meneroka peluang perniagaan.

Dia bercadang untuk membawa francais makanan segera Vietnam, Lotteri ke Malaysia selepas tamat pengajiannya.

Pelajar tahun pertama ADP, Syamim Hashim dan Rahmah Mohd. Fauzi pula bertambah yakin dan optimistik selepas menyertai program lawatan sambil belajar ini.

"Platform terbaik berdepan dengan situasi yang tidak dijangka di tempat yang baru dan asing bagi kita," ujar Syamim yang bakal menyambung dua tahun terakhir pengajiannya di Amerika Syarikat.

Bagi Rahmah, cabaran terbesar dalam hidup adalah bersaing dengan diri sendiri. Sikap warga Vietnam yang tiada rasa inferior, fokus dan yakin dengan kebolehan diri kini menjadi pendorong utama kepadanya mencapai kecemerlangan akademik dan kerjaya.

Read more...

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP